Kasut Crocs Ada Kalimah Allah oleh Ust. Nor Amin


Assalamualaikum,

Now, ramai dah mula bercakap mengenai kasut crocs mempunyai kalimah Allah pada logonya. Saya harap ustaz dapat memeberi pandangan dalam hal ini. Boleh dikatakan ramai orang Malaysia pakai brand ini samada original mahupun yang tiruan.

Jawapannya

Umat Islam dari zaman Nabi Muhammad sehingga sekarang tidak sepi dari cubaan musuh Islam untuk menyesatkan akidah umat Islam. Berbagai cara, teknik dan metode mereka gunakan untuk jatuhkan akidah umat Islam. Dahulu mereka gunakan teknik kekerasan iaitu peperangan, pembunuhan dan penindasan untuk menyekat kebangkitan umat Islam. Tetapi teknik ini seringkali menghadapi jalan kegagalan dan kebuntuan musuh Islam. Sekarang mereka menggunakan kaedah baru iaitu dengan menggunakan psikologi, hiburan, budaya dan penindasan. Mereka masukkan siaran-siaran yang melalaikan seperti filem-filem keagamaan mereka, pelakon yang tidak menutup aurat, 18 sx dan sebagainya. Teknik baru yang digunakan oleh musuh Islam ini sangat berkesan sehingga dapat memecahkan beberapa fahaman umat Islam, di antaranya ialah seperti Islam librare, Islam sikular, Islam Moden, Islam Tradisional dan sebagainya. Apabila Islam telah berpecah mudah bagi mereka untuk menghancurkan Islam sepertimana yang telah berlaku kepada zaman kejatuhan pemerintahan Khalifah Uthmaniah Turkey. Sekarang umat Islam tidak terbela lagi sehingga darah daging umat Islam sama nilainya dengan ikan-ikan busuk di pasar malam dan pasar minggu.

Umat Islam sekarang menghadapai masalah sosial yang paling serius dan susah untuk diubati lagi, kecuali dengan undang-undang Islam. Sering kita dengari di dalam media masa, umat Islam paling ramai dengan sumbang mahram, seks bebas, buang anak, penyalah gunaan dadah, rempit, malas belajar dan sebagainya. Ini semua berlaku adalah dari agenda terancang musuh Islam dahulu, kini dan selamanya hingga kiamat.

Yang Terbaru, ialah penghinaan Kalimah Allah di kasut, tatu badan, rantai samseng, tali pinggang dan sebagainya. Ini semua merupakan penghinaan kepada agama Islam dan umat Islam. Selagi mana umat Islam tidak bersatu, maka selagi itulah musuh Islam berani untuk menghina Islam. Sebenarnya saya dah buat satu artikel berkaitan masalah ini, klik sini untuk membacanya.

Kembali kepada perbahasan asal artikel ini, masalah logo kepada kasut crocs yang hangat diperkatakan oleh orang sekarang ini. Setelah saya lihat logonya memang sangat serupa dengan kalimah Allah sama ada original atau tiruan. Pendapat saya, lebih baik elak dari membelinya dan elak dari memakainya, kerana kita dikira bersekonkol melaksanakan kerja jahat syarikat tersebut dalam menjatuhkan maruah Islam. Walaupun kita kuat sembahyang, tutup aurat, kuat sedekah dan berbagai ibadah yang lain kita buat, tetapi masih menggunakan kasut berlogo kalimah Allah, maka tiada gunanya ibadah kita selama ini, kecualilah kepada orang yang tidak tahu bahawa kasutnya ada kalimah Allah. Inilah yang disifatkan oleh Nabi Muhammad bahawa umatnya di akhir zaman diibaratkan seperti buih atau sampah di lautan, tiada tindakan yang boleh dibuat untuk membasmi masalah kasut logo kalimah Allah ini.

Saya percaya ada sebahagian umat Islam akan mengatakan bahawa
“inilah kerja ustaz dan orang agama itu tak boleh ini tak boleh semua haram”. Ada yang kata “alamak ustaz kasut nih sedap pakai dari kasut-kasut lain, kerana ia mudah dan senang, nak ambil air wuduk pun mudah nak pi jamban pun mudah”. Anda semua perlu ingat, Walau apa cara sekalipun hatta menggadaikan harta dan nyawa untuk mempertahankan Islam, maka wajib kita kena buat dan tiada terkecuali, kerana menjaga agama adalah kewajipan bagi umat Islam semua. Biarlah susah sikit untuk perkara dunia dan senang untuk perkara akhirat. Ganjaran sangat besar bagi orang yang sanggup mengorbankan dirinya untuk menagih cinta Ilahi. Kerja sebagai seorang Ustaz atau pendakwah ini sangat berat dan membetulkan salah orang, kalau bukan ustaz membetulkan salah orang siapa lagi. Adakah artis akan membetulkan salah masyarakat? Jelas ini memang kerja ustaz dan pendakwah, memang kena tegur kesalahan orang dan bukan menegur kesalahan binatang atau haiwan.

Saya seru kepada semua, jom kita boikot syarikat kasut tersebut dengan rasa sensetifnya terhadap penghinaan kalimah Allah tersebut. Inilah cara yang kita mampu buat dari yang lain dan kita sama-sama doakan agar kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap syarikat-syarikat yang meletakkan kalimah Allah kasut dan sebagainya. Sebagai tanggungjawab Islam, maka wajiblah kita menyampaikan perkara kebaikan kepada saudara-saudara sesama Islam mengenai masalah ini. Saya akan buat aduan JAKIM tentang masalah kasut yang menggunakan kalimah Allah ini, sebagai rasa bertanggungjawab.

Ukhuwwah Manusia Hamba


Membuat kesimpulan ukhuwwah di hadapan Imperial Palace, Tokyo
“Usrah bukan untuk berukhuwwah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terjalinnya ukhuwwah”, saya menyambung ceramah.
Ada sedikit unsur ‘blurred‘ kelihatan di wajah peserta.
“Usrah bukan majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah. Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah muslim. Menghasilkan manusia muslim”, saya melengkapkan huraian ini.
TARBIYAH ITU COACHING
Diskusi berlangsung ketika saya memperkatakan tentang subjek HIDUP UNTUK ISLAM. Ia adalah tapak untuk menegakkan prinsip dakwah.
Namun isunya adalah kemandulan dakwah. Bukan sahaja keberhasilannya dipersoalkan, malah daie dan mad’u sama-sama ditimpa kebosanan dengan dakwah stereotaip. Dakwah pudar dan satu hala, hingga menjadi selimut jemu.
Justeru saya cuba untuk menjelaskan perbezaan di antara preaching dan coaching. Sesungguhnya usrah sebagai salah satu gelanggang dakwah memerlukan kepada coaching dan bukannya preaching. Coaching itulah yang dinamakan sebagai TARBIYAH. Bila mana proses tarbiyah itu bersifat coaching, maka soal jawab dan kritis dalam memperkatakan topik-topik dakwah, adalah suatu kemestian.
Termasuk juga persoalan se’mudah’ UKHUWWAH

Summer Camp 2008 memproses manusia untuk dikembalikan kepada manusia… kerana Dia
UKHUWWAH YANG BUKAN UKHUWWAH
“Bagaimana kita mahu menghasilkan ukhuwwah?”, tanya salah seorang peserta.
“Soalnya, apakah kita boleh bezakan di antara ukhuwwah dan bukan ukhuwwah?”, saya cuba memprovok minda peserta.
“Apakah ada ukhuwwah yang bukan ukhuwwah?”, saya cuba untuk menjernihkan lagi soalan yang ditanya.
Peserta hening.
Sepi seketika.
Syukurnya, panas Ibaraki yang begitu membara mulai reda. Hujan turun membasahi malam kedua kami di Summer Camp 2008. Peserta dan penceramah selesa sedikit untuk berprogram.
Persoalan ukhuwwah yang bukan ukhuwwah ini saya timbulkan untuk membetulkan persepsi segelintir anak muda yang salah membaca makna ukhuwwah. Mereka keliru di antara ukhuwwah dengan taasub berkumpulan.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat 49: 10]
Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain…  cukup dengan alasan iman.
Sedangkan taasub berkumpulan itu jauh berbeza. Ia adalah suatu kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika ia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut. Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.
Inilah yang harus kita perhatikan secara teliti. Tanpa mata yang tajam membaca kelakuan manusia, kita membuat evaluasi yang salah hingga mengambil sampel yang cacat untuk sesuatu yang tinggi setinggi ukhuwwah fillah. Terlalu mudah melabelkan kemesraan sebagai ukhuwwah.
Justeru, proses Tarbiyah seharusnya bertindak menyuntik elemen ukhuwwah yang terbentang luas bermula daripada sikap berlapang dada, hinggalah kepada upaya mengutamakan saudara mengatasi diri sendiri. Antara ‘salamatussadr‘ hingga ke ‘al-eetsaar ‘ala al-nafs‘. Lingkungannya harus luas seluas iman. Atas nama iman kepada Allah, title MUKMIN dan MUSLIM sudah cukup untuk membuka penerimaan kita terhadap sesiapa sahaja.
Akan tetapi, jika agenda Tarbiyah mencetuskan kemesraan hanya kepada sesama ahli kumpulan, kemudian dingin dan hambar dengan orang luar, maka ia adalah pseudo-ukhuwwah. Persaudaraan yang palsu. Persaudaraan yang meminjam keluasan Islam untuk berkhidmat kepada kesempitan agenda berkumpulan itu.
Suatu manipulasi yang cela.

Ukhuwwah merentas generasi
TABIAT BIASA
Tidakkah manusia sentiasa mengutamakan kawan sendiri dan lingkungan kebiasaannya?
Soalan ini mungkin timbul sedemikian rupa.
Tentu sahaja kita lebih mesra dengan kumpulan kita sendiri. Credit hour yang kita habiskan bersama rakan-rakan sepasukan, tentu sahaja menjadikan kita lebih mudah masuk dengan sahabat-sahabat yang kita sudah biasa. Itu naluri manusia.
Tetapi kemesraan itu harus mampu berkembang dan mendatangkan upaya untuk mereka bergaul, berhubung dan berinteraksi dengan orang lain juga. Tiada duo-personaliti. Mesra dengan teman, hambar dengan kenalan!
“Bagaimanakah ia boleh dihasilkan?”, satu soalan terbit menuntut perincian.
Saya menggemari suasana di dalam Summer Camp 2008 tempoh hari kerana peserta aktif berinteraksi. Lambakan soalan mereka amat ‘merehatkan’. Saya mampu berehat di dalam penat, apabila peserta memperlihatkan diri mereka memproses apa yang diperkata.
ELITISMA
“Proses Tarbiyah mestilah menjauhi elitisma. Iaitu suatu fenomena yang mengangkat keistimewaan diri di atas perbuatan memandang rendah terhadap orang lain”, itu jawapan saya selepas di’Haji Google’kan dengan soalan tersebut.
Sebuah kumpulan dakwah yang berjaya, harus mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan bulat hati terhadap seruan yang diperjuangkan. Jika sebuah kumpulan itu sentiasa berperasaan bahawa diri mereka bukanlah yang terbaik, cacat cela pada minda dan seruannya, maka golongan yang tiada keyakinan diri tidak mungkin dapat meyakinkan orang lain.
Akan tetapi, di sana ada garisan halus yang memisahkan keyakinan diri dan sombong meninggi diri. Keyakinan diri itu ialah pandangan yang positif terhadap kelebihan dan potensi diri, tanpa memandang rendah kepada orang lain. Manakala perbuatan meninggi diri (ego?) pula ialah pandangan yang ‘positif’ terhadap potensi diri, dengan memandang rendah kepada orang lain.
“Tarbiyah kita adalah yang terbaik, tarbiyah rakan kita juga ada kelebihannya”, ayat yang muncul dari pandangan yang positif terhadap diri.
“Tarbiyah kita adalah yang terbaik, berbanding kumpulan mereka yang  kurang Tarbiyah!”, adalah ayat meninggi diri.
Ayat-ayat elitisma!
Elitisma atau exclusiveness dalam fikiran, gaya hidup dan pergaulan inilah penyumbang besar kepada rosaknya nilai ukhuwwah yang disemai melalui proses Tarbiyah. Ia mengongkong perasaan kumpulan yang dijangkiti, dengan keupayaan bergaul yang baik sesama sendiri tetapi tiada upaya yang sama tatkala berhubung dengan golongan yang datang dari luar lingkungan mereka.
Jangan tertipu dengan ‘ukhuwwah’ sebegini.
Jangan menipu diri dengan ‘ukhuwwah’ sebegini.
Ia hanyalah taasub perkumpulan yang mengundang rugi.

Ukhuwwah harus ceria menceriakan
BENTENG SOMBONG DIRI
“Apa pula caranya untuk tidak sombong meninggi diri?”, soalan seterusnya menerjah diri.
Sombong diri itu memusnahkan. Ia mengalpakan dirinya dari hakikat siapa kita siapa Dia.
“Mampukah manusia yang sedar dirinya HAMBA, meninggi diri di hadapan Dia yang Maha Tinggi?”, itu sahaja jawapannya.
“Dan tidaklah Aku Ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka itu memperhambakan diri dengan beribadah kepada-Ku” [Al-Dhaariyaat 51:56]
Manusia yang sentiasa memikirkan akan tujuan hidupnya, akan sedar bahawa dirinya adalah seorang hamba. Manusia yang sentiasa memikirkan tujuan hidup di dalam dakwahnya, akan berdakwah dari seorang hamba kepada seorang hamba, merendahkan diri di hadapan DIA.
Ya Allah, hidupkanlah kami dengan kehidupan hamba…
Matikanlah kami dengan kematian hamba…
Masukkan kami ke Syurga-Mu bersama hamba-hamba-Mu yang Engkau redhai.
Semoga warga Summer Camp IPIJ 2008 terus subur ukhuwwah mereka, di mana sahaja, dengan sesiapa sahaja… kerana itulah jalan kesempurnaan IMAN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur