Sayang

Sayang






“ Kau serius ke?”
“ Serius la”
“ Kau betul dah fikir masak-masak?”
“ Yang kau ni kenapa? Takut ke?”
“ Ini bukan benda kecik tau, kalau gagal habis kita”
“ Aku tak mahu fikir semua tu”
“ Kau memang gila”
“ Suka hati kau la”
Gorah senyap. Puas dia mengajak kawannya Mori itu berbincang, namun Mori tetap berkeras dengan perancangannya.
“ Kau nak ikut tak nak?” Mori bertanya.
Gorah senyap. Temannya itu hanya dipandang dengan pandangan kosong sahaja.
Mori memeriksa laras senjata kegemarannya, machine gun versi 500001. “ Kalau tak mahu pergi, maka aku akan pergi seorang diri”
Mori melangkah menuju ke biliknya.
“ Aku pergi” Suara Gorah membuatkan langkahan Mori terhenti.
Mori menoleh. Gorah sedang memandangnya. Mereka berdua bertentang mata.
“ Kita dah lama buat kerja sama-sama. Jadi aku akan pergi dengan kau”
Mori tersenyum. Dia mengangkat ibu jarinya tanda bagus diiringi senyuman manis yang terukir di bibirnya.


****


“ Sesungguhnya ALLAH S.W.T. itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita semua perlu sedar akan kebesaran ALLAH S.W.T. Jika kita perhatikan keindahan alam ini, kita tadabbur penciptaannya, maka kita akan mendapat satu jawapan, yakni mesti ada sesuatu yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengatur yang menciptakannya”
Abdullah menarik nafas. Selepas itu dia mengambil air yang disediakan oleh jemaah masjid untuk dirinya. Diteguknya air itu untuk membasahkan tekak.
“ Maaf” Dia merujuk kepada tindakannya meminum air. Beberapa orang jemaah hanya tersenyum sahaja. Mereka faham yang Abdullah sudah bercakap agak panjang, dan pasti memerlukan air untuk membasahkan tekak yang kering.
“ Jika kita perhatikan, bintang-bintang berjuta-juta di langit, matahari yang teramat panas, bumi yang berputar dengan kelajuan yang pantas, mekanisma-mekanisma mikro yang wujud, planet-planet yang berputar di atas orbit masing-masing dan berbagai lagi fenomena ala mini, pasti akan membuatkan kita yakin bahawa, semua benda ini mesti ada yang menciptanya. Tidak mungkin benda-benda ini, yang cukup teratur pergerakannya, yang kemas penciptaannya, tidak mempunyai pencipta sekaligus pengatur kepada diri mereka”
Abdullah berhenti lagi. Kali ini dia cuba membaca reaksi wajah para jemaah yang mendengar. Dia dapat melihat betapa tekunnya para jemaah mendengar bicaranya. Malah ada sampai berkerut-kerut, mungkin kerana kagum, mungkin juga kerana tidak faham, mungkin juga kerana sukar untuk menafsirkan kata-katanya. Namun jelas pada wajah mereka, mereka memberikan perhatian yang tinggi kepada bicaranya. Abdullah tersenyum. Dalam hati, dia mendoakan agar mereka yang berada di hadapannya kini dirahmati ALLAH.
“ Maka di dalam keindahan penciptaan alam ini, terselit kebesaran dan kekuasaan ALLAH S.W.T.” Selepas bicaranya itu, Abdullah memohon maaf kepada hadirin akan salah silapnya sepanjang menyampaikan ceramah, seterusnya menutup majlis dengan membaca tasbih kifarah dan surah Al-‘Asr.
Para jemaah ramai-ramai bangun dan mendapatkannya untuk bersalaman sebelum pulang.
Selepas selesai bersalaman dengan para jemaah, Abdullah segera mengemas barangnya untuk pulang.
“ Maaf tuan imam” Satu suara singgah di cuping telinganya.
Abdullah menoleh. Kelihatan seorang pemuda sedang berdiri menghadapnya. Abdullah mengukir senyuman. “ Aziz, apa khabar?”
Aziz mengukir senyum. “ Khabar baik, tuan imam nampak bersemangat hari ini?”
“ Hari lain tak bersemangat ke?” Abdullah mengangkat keningnya dua kali. Aziz tertawa kecil.
“ Takdelah, saya sahaja main-main je. Tuan Imam memang sentiasa bersemangat”
“ Alhamdulillah, itu semua adalah rezeki daripada ALLAH. Kita semua patut bersyukur”
Aziz terangguk-angguk.
“ Kenapa kamu tunggu saya? Ada hal yang hendak dibincangkan?” Abdullah siap mengemas barang-barangnya. Dia sudah memasukkan segala kertas rujukan tazkirahnya tadi di dalam fail selepas menyusunnya.
“ Ah, saya ada satu hal hendak bagitahu kepada Tuan Imam”
“ Hal apa?”
“ Tuan Imam ingat lagi tak sahabat Tuan Imam yang bernama Irfan Hakimi?”
“ Ingat, masakan boleh lupa. Itu adalah sahabat karib saya”
Aziz terangguk-angguk. “ Jadi betul la apa yang saya dengar”
Abdullah rasa pelik. “ Apa yang kamu dengar?”
“ Sahabat Tuan Imam tu kini seorang penjenayah”
Wajah Abdullah beriak terkejut. Di dalam hatinya dia beristighfar.
“ Mana kamu dapat cerita ini Aziz?”
“ Saya pergi ke Bandar Timur minggu lepas, di situ terdapat berita tentang penjenayah yang dikehendaki oleh polis atas kesalahan melakukan rompakan-rompakan bank dan pembunuhan. Perompak itu bernama Irfan Hakimi. Saya teringat yang Tuan Imam ada menceritakan kepada kami tentang sahabat Tuan Imam bernama Irfan Hakimi. Tambahan, penjenayah yang bernama Irfan Hakimi itu berasal dari kampong Tuan Imam, Kampung Barat”
Abdullah senyap. Di dalam hatinya, dia beristighfar panjang.


****


Dia masih menumpukan perhatiannya kepada buku Biologinya. Setiap perkara dalam bab respirasi yang sedang ditelaahnya cuba dihadam di dalam otak.
“ Hoi,” Satu tepukan deras mengenai belakang tubuhnya. Tersentak dia ke hadapan. Pantas dia melipat lehernya ke belakang untuk melihat gerangan siapakah yang menganggu ulangkajinya.
Malik. “ Kau tak ada kerja lain ke Malik? Mengacau orang aje”
“ Weh Safwan, yang kau ulangkaji pelajaran sampai pukul dua pagi ni apa hal?” Malik bercekak pinggang. Matanya memandang Safwan yang sedang duduk di hadapan meja kecil bercahayakan lampu meja.
“ Biarlah, yang kau tu pagi-pagi buta tercongok kat belakang aku ni kenapa? Mengingau?” Safwan memandang semula ke arah buku Biologinya.
Malik menarik sengih. Pantas dipanjangkan sebelah tangannya mencapai buku Biologi Safwan. Ditariknya buku itu.
“ Woi” Kepala Safwan yang meneluku buku itu terangkat mengikut arah buku itu ditarik.
Malik mengangkat buku. “ Respirasi” Dia membaca bab yang sedang ditelaah oleh Safwan.
“ Jangan la kacau”
Sebelah mata Malik memandang Safwan, sebelah lagi terlindung di sebalik buku.
“ Kau selalu sangat tidur lewat la kawan” Malik menyuarakan isi hatinya.
“ Biarlah, aku belajar nak jadi pandai”
“ Kalau sekali-sekala tak mengapalah, tapi ini hari-hari”
“ Habis, macam mana aku nak jadi budak pandai kalau tak rajin belajar?”
“ Kau kan dah pandai? Jagalah jugak kesihatan kau. Badan kau perlu rehat. Jangan kau paksa badan kau. Ni aku tengok siang malam asyik menghadap buku aje. Pagi buku, tengahari buku, petang buku, lepas maghrib buku, lepas isya’ buku, sampai pukul dua pagi pun buku ” Malik bersuara risau. Buku Biologi sudah diletakkan semula di atas meja belajar Safwan.
Safwan senyap. Matanya lekat pada wajah Malik.
“ Aku masih sihat je”
“ Badan manusia ada limitasinya”
“ Aku ada sebab aku. Kau takkan faham”
“ Jangan cakap macam tu, aku tahu kenapa kau belajar kuat-kuat macam ni”
“ Kenapa?”
“ Sebab keluarga”
Safwan senyap. Mata Malik masih lekat pada wajahnya.


****


“ Bagaimana dengan lokasi rancangan kita?”
“ Nampaknya keadaannya seperti yang kita jangkai”
Mori mengangkat machine gun 500001nya. Dia membelek-belek senjata itu. Selepas dia berpuas hati, dia berdiri.
“ Jadi kita mulakan rancangan kita” Mori berbicara yakin. Gorah yang sedari tadi tunduk untuk meninjau keadaan dengan teropongnya, memandang Mori sambil mengangguk.
Gorah mengeluarkan senapang patah miliknya.
“ Tapi aku nak ingatkan kau, jangan terlalu beremosi” Gorah memandang Mori.
Mori senyap. Dia memandang machine gun 500001nya.
Gorah menggeleng kepala melihat sikap Mori. Pasti nanti akan berlaku kekecohan. Dia bukannya setahun dua duduk dengan Mori. Sudah 10 tahun mereka bekerja bersama-sama.
Mereka berdua bergerak bersama-sama. Senjata masing-masing disembunyikan di dalam kot panjang yang mereka pakai.
Mereka tiba di hadapan bangunan Penjara Bandar Utara. Destinasi mereka.
“ Ya encik, ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Seorang jaga yang menjaga pintu masuk menyambut mereka berdua dengan wajah yang mesra.
Gorah mengukir senyum. “ Adakah penjenayah wanita terkenal yang bernama Mora berada di dalam penjara ini?”
“ Ya, dia ditangkap minggu lalu dalam operasi khas. Tetapi dua orang lagi temannya, yakni suaminya dan rakan kongsi suaminya berjaya melepaskan diri”
“ Oh...” Gorah mengangguk-angguk.
“ Tuan ni siapa? Detektif kah?” Jaga itu bertanya berdasarkan pemakaian Mori dan Gorah yang berkot panjang hingga ke betis, dengan baju dan seluar hitam beserta cermin mata hitam.
“ Ah.... kami ni...”
Sup!!!
Darah bersemburan memercik ke dinding pondok pemeriksaan. Mata Gorah terbeliak. Pantas dia memandang ke belakang. Mori sedang memegang kemas sepucuk pistol magnum bersama-sama alat anti-bunyi. Jaga sudah terkulai dengan di kepalanya terdapat bulatan merah bersama darah mengalir turun dari bulatan itu.
“ Aku tak boleh tunggu lagi, cepat” Mori melangkah cepat melepasi Gorah.
“ Ini bukan dalam perancangan kita!” Gorah meninggikan suara. Matanya terjegil memandang temannya.
“ Kalau kau tak mahu, kau boleh balik!” Mori membalas. Dia terus melangkah.
Gorah menggelengkan kepala. Pantas dia membuntuti rakannya itu. Mori mengeluarkan machine gun 50001nya. Gorah turut mengeluarkan senjatanya.
Mereka berdua masuk ke bangunan utama. Polis-polis yang sedang berada di situ pantas terkesan dengan kehadiran mereka. Polis-polis itu nyata terkejut dengan kehadiran Mori dan Gorah yang bersenjata. Pantas masing-masing hendak mencapai pistol di pinggang, namun Mori dan Gorah yang sudah berpengalaman menjalankan ribuan rompakan besar lebih pantas, machine gun 50001 dan senapang patah pantas menjalankan tugasnya.
Dentuman senapang patah bersama dengan bunyi muntahan peluru machine gun mula memekakkan telinga. Loceng kecemasan berbunyi tidak lama kemudian.
“ Penceroboh, pencoroboh,” Pembesar suara kedengaran di seluruh bangunan penjara.
Mori dan Gorah bertahan di sebalik meja besar di tengah-tengah bagunan utama. Sambil mereka bertahan, dua senjata yang berada di tangan mereka bekerja keras. Muntahan peluru keluar tanpa henti. Ramai anggota polis yang gugur. Pegawai-pegawai penjara turut tak terkecuali.
Beberapa minit kemudian suasana menjadi sepi.
Mori meninjau keadaan. Dia mengira mayat yang bergelimpangan.
“ 1... 2.... 3... ....... 10” Kemudian dia senyap. Dia memandang Gorah.
“ Selesai” Mori berkata yakin. Gorah mengangguk.
Mereka berdua sebenarnya telah mengkaji keadaan penjara ini. Penjara ini terletak jauh di tengah hutan kerana menempatkan banduan-banduan yang merbahaya. Namun oleh sebab tempatnya yang amat terpencil, hanya ada beberapa orang sahaja polis yang ditempatkan di penjara ini. Sepatutnya penjara ini mempunyai beberapa orang tentera terlatih, namun satu operasi telah dijalankan di Bandar Timur untuk memburu seorang penjenayah bernama Irfan Hakimi. Sebab itulah Mori dan Gorah memilih hari ini untuk bertindak. Penjara ini pada hari ini mempunyai pertahanan yang sangat lemah.
Mori segera bergerak menuju ke tempat tahanan. Dia mencari-cari.
“ Gorah, sel nombor berapa?”
Mereka berdua melepasi sel-sel yang menempatkan pelbagai jenis banduan. Memandangkan mereka berdua adalah penjenayah yang terkenal, maka ada suara yang melaung-laung nama mereka berdua. Namun Mori dan Gorah langsung tidak menghiraukan banduan yang lain. Walaupun mungkin yang menyahut itu adalah rakan kongsi mereka suatu masa dahulu.
“ Sel nombor 17”
Mori menjeling ke arah nombor sel yang dilaluinya, nombor 15. Pantas dia berlari anak sedikit. Kemudian dia berhenti. Gorah yang berada di belakangnya berjalan seperti biasa.
Mori memandang ke dalam sel. Seorang wanita sedang memandangnya dari dalam sel.
“ Mori?”
“ Mora!” Mori pantas mendekati sel itu. Tangan Mora yang berpaut di jeriji besi disentuh dengan kedua tangannya.
Gorah melihat sahaja dari tepi.
“ Bagaimana kau berada di sini?”
“ Aku pecah masuk penjara ini, aku nak bebaskan engkau Mora”
Mora menitiskan air mata. Terharu. Wajah Mori yang bersungguh-sungguh lagi menyentuh hati hawanya.
“ Kenapa kau sanggup bahayakan diri kau untuk aku?”
“ Sebab aku sayang kamu”


****


“ Nampaknya penjenayah tu tak mahu turun”
“ Kita punya skuad penembak tepat dah bersedia belum?”
Pegawai itu menganggukkan kepala apabila mendengar pertanyaan Ketua Polis.
“ Jadi bersedia untuk menembak”
Pegawai itu mengangguk.
Ketua Polis mendongak memandang ke atas. Seorang penjenayah sedang berada di atas bangunan itu. Perompak bank dan pembunuh bersiri yang baru sahaja menjadi terkenal kerana kehebatannya, Irfan Hakimi. Semalam pihak polis dapat mengesan tempat persembunyiannya, iaitu di Hotel Horray di Bandar Timur. Justeru seluruh bangunan itu dikepung oleh pihak polis dan tentera.
Namun Irfan Hakimi sudah menyediakan rancangannya untuk melepaskan diri apabila dia terlebih dahulu sudah meletakkan bom-bom berkuasa tinggi di setiap tingkat hotel. Apabila dia menyedari dirinya dikesani polis, dia terus keluar dari biliknya dan berlari ke tingkat atas. Beberapa orang polis yang mengekorinya sudah terbunuh dengan ketangkasannya. Kini dia berada di tingkat paling atas, menyuruh semua polis keluar dan menjauhi bangunan hotel ini, atau dia akan meletupkan bangunan ini bersama-sama manusia di dalamnya. Orang yang ada di dalam hotel itu juga diugut agar tidak keluar. Jika ada seorang yang keluar, maka dia akan meletupkan juga bangunan itu.
Berhadapan dengan situasi ini, polis terperangkap dengan rundingan. Irfan Hakimi hendak dirinya dilepaskan dan tidak dikejar. Dia langsung tidak bersetuju melepaskan diri. Akhirnya Ketua Polis membuat keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat Irfan Hakimi. Justeru skuad penembak tepat dipanggil.
“ encik, encik tak boleh mendekati kawasan ini”
“ Izinkan saya berjumpa dengan ketua polis”
Ketua polis menangkap bunyi kekecohan di belakangnya. Pantas dia menoleh. Kelihatan seorang lelaki berjubah seperti orang pakistan, namun dia adalah orang melayu.
“ Kenapa?” Ketua polis bertanya.
“ Tuan, orang ini ingin bertemu tuan. Dia tidak mahu pergi walaupun saya katakan yang kita sedang menjalankan operasi” Salah seorang polis memberitahu.
Ketua polis memandang wajah lelaki yang hendak berjumpa dengannya. Wajah itu bersih dan menyenangkan.
“ Biarkan dia”
“ baik tuan”
Abdullah bergerak mendekati Ketua Polis. Dengan seukir senyuman, dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Huluran salamnya bersambut.
“ Kamu hendak apa?”
“ Saya adalah sahabat Irfan Hakimi”
“ Oh, jadi?”
“ Izinkan saya naik bertemu dengannya”
Terangkat kedua kening ketua polis. “Kamu gila? Dia itu penjenayah, kamu akan dibunuh”
Abdullah menggelengkan kepala. “ Tidak, malah saya insyaALLAH akan dapat meyakinkan dia”
Ketua Polis senyap.
“ Tuan, lagipun tuan perlukan dia hidup bukan?”
Ketua Polis terangguk-angguk. Kerajaan hendakkan Irfan Hakimi ini hidup-hidup memandangkan Irfan Hakimi adalah seorang genius komputer yang memegang segala kod pertahanan negara.
Ketua polis memandang Abdullah.
“ Pergi”
Ketua Polis segera memberikan isyarat agar skuad penembak tepat jangan bertindak terlebih dahulu. Abdullah tersenyum. Segera dia bergerak.
Ketua Polis berdoa di dalam hati agar lelaki yang datang ini dapat membantunya.
Irfan Hakimi hakikatnya seorang genius komputer yang bekerja dengan pertahanan negara. Dia memegang segala kod sekuriti pertahanan negara memandangkan dia adalah orang yang merekanya. Sekuriti rekaannya nyata amat ampuh sehinggakan maklumat pertahanan negara tidak mampu ditembus masuk, atau dicuri maklumatnya oleh penggodam-penggodam komputer yang bekerja dengan ejen risikan negara lain. Namun entah mengapa, Irfan Hakimi menjadi penjenayah besar apabila dia pada suatu hari merompak bank dan membunuh semua orang di dalamnya. Dari siasatan kes, nyata Irfan Hakimi tidak mengejar wang, tetapi lebih kepada melepaskan tekanan. Namun keadaan itu tidak berhenti begitu sahaja, Irfan Hakimi meneruskan rompakannya ke bank-bank yang lain dan membunuh lebih ramai orang.
Polis terpaksa masuk campur. Namun Kerajaan memberikan arahan agar hanya menangkap, bukan membunuh. Hal ini kerana, jika Irfan Hakimi dibunuh, maka segala maklumat pertahanan negara tidak akan dapat digunakan kerana terkunci rapi oleh sekuriti yang direka oleh Irfan Hakimi. Tetapi Pihak Polis bertegas dengan menyatakan bahawa, jika Irfan Hakimi membantah untuk dibawa pulang secara aman, maka mereka akan bertindak untuk menamatkan riwayatnya, tambahan, rekod jenayahnya bukanlah rekod jenayah biasa.
Ketua Polis mendongak ke atas bangunan Hotel Horray. Harapnya, lelaki yang datang tadi akan dapat meyakinkan Irfan Hakimi.

Laras pistol teracu menuju ke arah Abdullah.
Terkejut Irfan Hakimi. Mujur dia tidak menarik picu.
“ Abdullah?”
Abdullah mengukir senyum. “ ya, aku sahabat kamu”
“ Aku dengar kau tertekan bekerja di bahagian pertahanan negara?” Abdullah bergerak selangkah demi selangkah mendekati Irfan Hakimi.
Dia dapat melihat yang sahabatnya itu memegang selaras pistol, dan satu alat penekan. Mungkin sahaja alat penekan itu adalah alat kawalan jarak jauh untuk meletupkan segala bom yang berada di bangunan ini.
Irfan Hakimi masih memandangnya dengan pandangan curiga.
“ Adakah kau ini polis yang menyamar menjadi Abdullah”
“ Polis yang menyamar tidak akan tahu yang kau suka makan sayur lemak cili api” Abdullah menjawab bersahaja. Tinggal lagi beberapa langkah sahaja hendak mendekati Irfan Hakimi.
Wajah Irfan Hakimi berkerut-kerut.
“ Rasanya polis pun takkan tahu yang komputer Abdullah adalah bahan uji kaji pertama Irfan Hakimi yang genius tu”
Irfan Hakimi menurunkan pistolnya. “ Abdullah...” Matanya bergenang.
Dia masih ingat yang dia menjadikan komputer Abdullah sebagai bahan uji kajinya untuk belajar memasang semula komputer. Namun akibat kekurangan ilmunya ketika itu, komputer Abdullah telah rosak. Itu semua perkara yang telah terjadi tiga puluh tahun yang lalu. Hanya dia dan Abdullah sahaja yang tahu. Itu adalah kenangan manis kepada mereka berdua.
Abdullah sudah berada di hadapan Irfan Hakimi. Betul-betul berada di hadapan Irfan Hakimi.
“ Menyerah la”
Irfan Hakimi tunduk.
“ Mereka gunakan aku, mereka kurung aku!” Irfan Hakimi menjerit.
Abdullah senyap.
“ Mereka tak bagi aku cuti, mereka tak bagi aku keluar”
“ Kau yang pilih jalan hidup begitu” Abdullah bersuara. Irfan Hakimi berhenti berkata-kata. Dia memandang sahabatnya itu.
“ Kau memegang pertahanan negara, pastinya mereka tidak akan melepaskan kau begitu sahaja”
Irfan Hakimi tunduk. Dia tertekan sebenarnya. Oleh kerana tekanan itulah yang dia bertindak di luar sedar.
“ Irfan, jangan kau sia-siakan umur kau. Tangan kau dah dilumuri darah manusia. Bertaubatlah, menyerahlah. Kalau kau mati hari ini, maka bagaimana kau hendak menghadap ALLAH?”
Irfan terkedu.
“ Aku tak datang ke sini sebab polis, apabila aku mendengar sahaja kau terperangkap di dalam kancah keburukan ini, maka aku sebagai sahabat hadir hendak mengeluarkan kau dari kabut ini”
Abdullah memaut bahu Irfan. Irfan tersentak. Namun dia tidak melawan. Malah Irfan rasa hatinya lapang. Entah mengapa.
“ Sahabat, mari pulang kepada ALLAH. Menyerahlah. Mereka tidak akan menamatkan nyawamu hari ini. Kalau kau tak melawan, mereka tidak akan mengapa-apakanmu. Kau masih punya banyak ruang untuk bertaubat jika umurmu masih ada. Aku faham tekananmu. Maka selepas ini aku tidak akan meninggalkanmu”
Irfan memandang Abdullah. Wajah Abdullah yang jernih menusuk kalbunya. Matanya yang sedari tadi bergenang menumpahkan air mata. Dia memeluk Abdullah.
“ Abdullah....”
Abdullah membalas pelukan Irfan.
“ Kita pulang ya? Kau menyerah ya?”
Irfan Hakimi mengangguk-angguk.
“ Kenapa kau susah payah untuk ke sini hanya kerana penjenayah seperti aku?”
“ Kau bukan penjenayah, kau adalah sahabat aku. Kalau sahabat aku terjun ke neraka, maka aku akan terjun sekali untuk mengambilnya semula, dan kita akan beriringan ke syurga bersama-sama.”
Abdullah senyap sebentar. Dia mengusap-usap belakang tubuh sahabatnya itu.
“ Aku sayang kau”


****


“ Belajar rajin-rajin ya”
“ Anak lelaki ayah mesti banggakan keluarga tau, mesti dapat semua A”
“ Anak saudara pak cik ni pandai, dia mesti dapat yang tertinggi punyalah”
“ Abang Long pandai la, abang Long mesti kena dapat semua A, baru Angah boleh ikut Along”
“ Achik kalau dah besar nanti nak jadi macam Along, sebab Along pandai”
“ Anak ibu, belajar kuat-kuatnya, tunjuk kat semua orang yang keluarga kita ni bagus”
Ayat-ayat itu menyilang-nyilang di dalam kepalanya.
Matanya tertumpu kepada buku matematik tambahan. Dia sedang memerhatikan cara penyelesaian bagi masalah Graf Fungsi. Dia sudah masuk ke soalan yang ke dua puluh.
Mata dan akalnya terpisah. Namun ingatannya kepada keluarganya itu seakan-akan menjana satu tenaga asing yang menyebabkan dia terus gagah menelaah pelajaran. Tetapi entah mengapa, malam ini matanya terasa berat, dan kepalanya merasa sakit.
“ Erm... belajar lagi?” Suara Malik mencelah.
Safwan menoleh ke belakang.
“ Susah ke soalan tu?” Malik memandang soalan yang sedang diusahakan oleh Safwan.
Malik memandang sahabatnya. Melihat muka Safwan sahaja Malik sudah tahu soalan itu amat sukar. Entah soalan level berapa yang dijawab oleh sahabatnya itu.
Bagi mempertingkatkan kehebatannya, Safwan memang suka mengambil soalan-soalan yang lebih tinggi tahapnya dari SPM. Malik tahu yang Safwan sering tidak berpuas hati dengan pencapaiannya. 12A1 di dalam trial dengan markah 90% ke atas bagi semua mata pelajaran masih tidak mampu memuaskan hatinya.
“ Belum 100% lagi” Itulah kata Safwan apabila Malik menyatakan tentang pencapaiannya itu.
“ Malik, aku rasa kepala aku sakit la” Safwan memegang kepalanya.
Kening Malik terangkat. Sakit?
Safwan cuba untuk bangun. Kepalanya seakkan-akan dihentak batu. Dia menggenggam rambut di kepalanya. Terasa seperti kulit kepalanya disiat-siat.
“ Malik...” Dia menyebut nama temannya itu. Malik segera hendak mendekati Safwan, namun belum sempat dia mendapatkan sahabatnya itu, Safwan sudah jatuh terjelepuk di atas lantai.
“ Safwan!” Pantas Malik mendapatkan Safwan. Ditepuk-tepuk pipi sahabatnya itu.
“ Ya ALLAH,” Safwan pengsan. Malik segera mengangkat sahabatnya itu keluar dari dormitori dan menuruni tangga.
Dia melangkah pantas menuju ke bilik warden di tingkat bawah. Dikejutkan warden yang malang itu walaupun jam menunjukkan pukul 3 pagi.
“ Kenapa?” Terpisat-pisat wajah Warden bertanya. Ustaz Mahadzir namanya.
“ Safwan pengsan masa tengah ulang kaji Ustaz”
“ Pengsan?” Terkejut Ustaz Mahadzir. Berkerut wajahnya. Hilang terus wajahnya yang mengantuk.
Segera dibawanya dua orang murid itu ke klinik terdekat. Tidak lupa dia menelefon kedua ibu bapa Safwan.
Malik dan Ustaz Mahadzir menunggu hingga ke subuh. Doktor sedang menjalankan rawatan kecemasan. Ketika pemeriksaan awal tadi, doktor menjumpai ketumbuhan kecil di otak Safwan. Mungkin sahaja ketumbuhan itu menyebabkan kepala Safwan menjadi terlalu sakit sehingga dia pengsan. Selepas solat subuh, kelihatan surat khabar untuk hari itu tiba.
“ Malik, kamu pergi ambil surat khabar tu. Hari ni tak payah beli surat khabar kat kedai lagi” Ustaz Mahadzir meminta tolong. Malik segera mendapatkan surat khabar itu.
Ustaz Mahadzir memandang muka hadapan.
“ Oh, tiga penjenayah sekumpulan, Mori, Gorah dan Mora berjaya ditumpaskan. Taktik umpan yang disediakan oleh pihak polis mengena apabila Mori cuba melepaskan isterinya, Mora di Penjara” Ustaz Mahadzir membaca akhbar. Surat khabar hari ini.
“ Perangkap cinta, polis bijak menggunakan sentimen perasaan di dalam kes itu” Malik memberikan komentar. Ustaz Mahadzir terangguk-angguk. Matanya menyorot ke berita bawah pula.
“ Oh, genius komputer yang melarikan diri dari kerajaan dan melakukan rompakan bank bersiri, Irfan Hakimi turut berjaya ditangkap” Terkeluar kalimah itu dari mulutnya.
Kening Malik terangkat. Dia pelik. Setahu dia, Irfan Hakimi itu teramat genius dan sukar untuk menyerah diri. Setiap kali pihak polis berjaya mengesannya, setiap kali itu juga dia mampu meloloskan diri, jika terpaksa, Irfan Hakimi bukanlah seorang yang teragak-agak untuk mempertaruhkan nyawa orang lain untuk melarikan diri. Kegeniusannya dalam hal ehwal komputer membuatkan dirinya tambah sukar untuk ditangkap. Bagaimana....
“ Mengikut laporan akhbar ini, sahabat lama Irfan Hakimi yang bernama Abdullah, seorang imam telah berjaya membuatkan Irfan Hakimi menyerah diri kepada pihak polis” Ustaz Mahadzir memberitahu. Matanya masih lekat kepada akhbar.
Malik terangguk-angguk. “ Tak sangka, sanggup pula temannya itu mempertaruhkan nyawanya demi seorang sahabat yang telah menjadi penjenayah. Dia tak takut ke Irfan Hakimi tu tembak dia?”
Ustaz Mahadzir faham akan persoalan yang ditimbulkan oleh Malik. “ Wartawan bertanyakan hal yang sama kepada Abdullah, kamu tahu apa dia jawab?”
Malik menggeleng-geleng.
“ Abdullah tu kata, Irfan adalah sahabat saya, saya sayang dia, kalaupun dia terjun ke neraka, saya akan terjun juga untuk mengambilnya semula”
Malik terpana. Sayang...
“ Satu peristiwa, sayang hanya kerana cinta kosong. Satu lagi peristiwa, sayang kerana ALLAH” Ustaz Mahadzir menggeleng-geleng.
“ Dunia hari ini penuh dengan pelbagai jenis manusia” Dia menutup komentarnya dengan melipat akhbar. Dia memandang Malik.
“ Sayang menyebabkan manusia sanggup mempertaruhkan apa sahaja ya?” Dia mengangkat kening kepada anak muridnya itu. Malik meleret sengih.
“ Macam Safwan...”
Ustaz Mahadzir mengangguk-angguk.
“ Sebab itu kita kena betulkan hala tuju sayang kita. Jika betul hala tujunya, ia akan memberikan keuntungan untuk diri kita dan diri orang yang kita sayang, baik di dunia mahupun di akhirat”
Malik mengangguk-angguk faham.
Tiba-tiba bunyi pintu automatik terbuka kedengaran. Malik segera menoleh. Ketika ini, matanya menangkap kelibat ibu dan bapa Safwan di pintu utama. Malik kenal dengan mereka. Segera Malik bangun menyambut. Ustaz Mahadzir juga segera bangun.
“ Macam mana anak saya?” Ibu Safwan bertanya cemas.
“ Dia masih dalam rawatan” Ustaz Mahadzir memberitahu.
“ Macam mana boleh jadi begitu?” Ayah Safwan pula bertanya.
“ Doktor kata, ketumbuhan itu tumbuh akibat kekurangan serat besi dan oksigen di dalam kepalanya. Keadaan tubuhnya yang seirng keletihan juga membuatkan peredaran darahnya menjadi tak seimbang. Apabila hal ini berlarutan berbulan-bulan, akibatnya, sel-sel otaknya bertindak dengan tidak teratur menghasilakan ketumbuhan itu” Malik menerangkan.
“ Macam mana boleh jadi macam tu pulak? Sekolah buat apa?” Drastik Ibu Safwan hendak menyalahkan sekolah.
“ Puan, anak puan yang belajar tak kira masa, belajar tak hirau makan minum, belajar sampai tinggal aktiviti riadhah, maka jadilah seperti hari ini. Hal ini bukan di dalam bidang kuasa kami” Ustaz Mahadzir menerangkan.
Ayah Safwan memandang Malik. Malik mengangguk-angguk membenarkan. Ibu Safwan menitiskan air mata.
“ Safwan... kenapa buat macam tu nak?”
“ Mak cik...” Suara Malik.
Mak Safwan menoleh ke arah Malik.
“ Safwan kata, dia buat macam tu sebab dia sayang keluarga dia”