Professor dan si Pendayung sampan

Oleh: Muhammad Ajwad Amaluddin



Suatu hari, seorang profesor bercadang untuk membuat "research" di sebuah
kawasan yang terpencil. Kebetulan ada perkhidmatan sampan yang mampu
membawanya bersiar-siar. Berikut adalah dialog sang profesor dengan
si pendayung sampan. Hayatilah....




Si Pendayung Sampan (SPS): Jemput naik ya, encik..!

Profesor(Prof): ehem-ehem.. prof taw..


SPS: oh! maaf.. jemput naik prof..! (memandang atas bawah)

Prof: bawa saya bersiar-siar di kawasan ini, ya..


SPS: ok, prof!



Setengah jam berlalu di atas sampan....



Prof: errkk.. boleh saya bertanya?

SPS: oh, boleh prof. ade apenye?


Prof: awak boleh membaca?

SPS: errk.. hehe.. tak boleh..


Prof: huh, bahaye tu.. awak da hilang 1 per 4 daripada hidup awak.

SPS: owh, yeke... (sedih)


Prof: mmm.. lagi satu. awak pandai mengira tak?


SPS: Allah! lagi la saye tak boleh..!


Prof: Haaaaa!!?? lagi bahaye! awak da hilang lagi 1 per 4 dari hidup awak!


SPS: hhhmm... (bertambah sedih) nak wat macam mane prof... ni la hidup saya.


Prof: awak kena belajar dari sekarang tau. takut nanti terlambat.. dah payah nak masuk.


SPS: insya allah, prof!



Selang beberapa minit, tiba-tiba...............




SPS: eerrkk!! ALAMAK! habis la kite prof!


Prof: huh! kenapa?

SPS: Sampan ni da terbocor! nanti mesti tenggelam!


Prof: habis tu?? macam mana ni??!!

SPS: Ok takpe.. kite boleh berenang.. Prof pandai berenang tak?


Prof: errk.. tak pandai!


SPS: hhhmm... nampaknya sekarang.. prof da hilang 100% daripada hidup prof! 




Moral: Jangan merendah-rendahkan orang lain. Dan jangan sesekali riak dengan
kebolehan yang kita ada. Allah kurniakan sesuatu anugerah supaya kita hargai
di samping terus mendekatkan diri kepada-Nya. -Wallahu 'alam-


Sumber: Ceramah umum USTAZ HASHIM AHMAD

RESEPI penting membina Ukhuwwah atas keimanan

Oleh: Hilal Asyraf
Tarbiyah menghidupkan jiwa, menghubungkan hati-hati ~ picture by andy89 of deviant art.
Tarbiyah menghidupkan jiwa, menghubungkan hati-hati ~ picture by andy89 of deviant art.
Selama saya menerangkan perihal ukhuwwah atas keimanan, ramai yang bertanya bagaimana hendak membina ukhuwwah yang sedemikian. Akhirnya saya sendiri terkesima. Ya, macam mana ya?
Saya sendiri tertanya-tanya. Tanpa sedar, saya perasan bahawa ukhuwwah yang saya nyatakan itu ibarat fantasi kepada orang lain. Tetapi ukhuwwah seperti itu adalah realiti buat saya. Saya merasainya. Saya melaluinya. Bahkan saya ada banyak bukti di dalam kehidupan saya. Hafiz Zainol Abidin, Tengku Muhammad Fahmi, Muhaimin Misran, Abang Ali Irfan, Abang Amru Irfan dan banyak lagi. Mereka bukannya tidak wujud di dunia ini.
Persoalannya, bagaimana ukhuwwah atas keimanan itu mampu dibentuk?
Adakah semata-mata dengan iman? Atau memerlukan satu ‘push’ yang lain?
Setelah lama berfikir, akhirnya saya mendapat satu jawapan.
Satu perkara yang saya lalui bersama semua sahabat saya itu yang saya lupa hendak ketengahkan. Pada saya, itulah resepi terpenting dalam membina ukhuwwah atas keimanan.
Itulah dia proses Tarbiyah Islamiyyah.
Iman yang diproses, iman yang tidak diproses
Keimanan itu hakikatnya perlu diproses untuk melahirkan keimanan yang berfungsi. Ramai manusia beriman, mempercayai kewujudan Allah SWT, mempercayai Rasulullah SAW, beriman kepada apa yang diperintahkan, dan beriman kepada apa yang dilarang. Beriman bahawa Islam adalah cara hidup yang hakiki. Beriman bahawa saudara dalam keimanan adalah ibarat saudara sendiri.
Tetapi keimanan ini memerlukan proses. Barulah keimanan itu mampu berfungsi. Barulah keimanan tadi mampu melahirkan ketaatan. Barulah keimanan tadi mampu menjauhkan diri kita daripada kemungkaran. Barulah ukhuwwah atas keimanan mampu direalitikan.
Proses itulah yang bernama Tarbiyah Islamiyyah.
Hal ini dibuktikan, dengan Rasulullah SAW menjalankan proses tarbiyah ini kepada para sahabatnya. Baginda bukan semata-mata Rasul yang membawa dakwah. Tetapi baginda juga adalah Rasul yang menjalankan tarbiyah. Ini dibuktikan apabila sesiapa yang beriman dengan baginda, akan dibawa menjalani proses tarbiyah.
Contoh proses tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam hal ukhuwwah.
Contoh terbesar adalah apabila Rasulullah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Ini adalah satu proses tarbiyah. Kebersamaan mereka, waktu-waktu mereka berkongsi susah senang bersama, waktu-waktu mereka perlu mengorbankan sebahagian harta dan kesayangan mereka untuk sahabat mereka, itu semua membina keeratan dan saling percaya mempercayai satu sama lain. Memperdalam ta’aruf dari sekadar mengenali nama kepada mengenali hati.
Itu belum dikira dengan di dalam peperangan mereka berkongsi makanan, ada satu kisah ketika para sahabat menggali parit Khandaq, ada seorang sahabat menawarkan kepada Rasulullah untuk memakan kambing kuah di rumahnya. Rasulullah mengajak seluruh 3000 orang sahabatnya berkongsi kambing kuah di dalam satu periuk.
Semestinya punya kesan yang mendalam.
Ditambah pula saat mereka bertemu lutut dan lutut ketika mengikuti majlis-majlis Rasulullah SAW, ketika mereka rapat-rapat duduk sehingga tiada sehelai daun mampu gugur ke bumi kerana rapatnya tubuh mereka saat mereka mendengar penyampaian Rasulullah SAW. Ini semua adalah tarbiyah.
Ditambah lagi dengan mereka duduk di satu tempat yang sama, saban hari berjumpa di Masjid An-Nabawi, menjalani kehidupan sebagai mukmin bersama-sama dan berjuang atas perjuangan yang sama. Berkongsi masalah dan sering saling ingat memperingati satu sama lain. Hinggakan apabila Abu Dzar Al-Ghifari bergurauan dengan Bilal bin Rabah dengan memanggilnya ‘anak hitam’, Rasulullah menegur bahawa padanya masih ada sisa jahiliyyah, Abu Dzar pantas merendahkan kepalanya ke tanah meminta Bilal memijaknya untuk membalas perbuatannya. Bilal tidak pula membalas, bahkan memaafkan.
Ini semua memperkukuhkan ukhuwwah mereka.
Menguatkan keimanan mereka.
Proses tarbiyah itulah yang diperlukan
Saya baru perasan yang saya dengan sahabat-sahabat saya tadi menjalani proses yang sama. Di MATRI, kami makan setalam, kami rapat-rapat duduk apabila ada majlis. Apabila ada perkhemahan, kami berkongsi khemah, merasai kesusahan bersama, merasai kemanisan bersama. Kami sering duduk bersama-sama menerima pengisian itu dan ini, kami sering menjalani program-program bersama di tempat itu dan ini. Kami sering bertemu, menjalani modul-modul tarbiyah itu dan ini.
Kefahaman Islam itu terbina dalam diri kami, dan daripada kefahaman Islam itulah kami memahami bahawa kami perlu saling menghargai. Aku dan dia adalah sama. Dia adalah aku. Aku adalah dia. Dia sahabat aku. Dia adalah keluarga aku. Perasaan itu muncul selepas melalui proses tadi. Proses yang bukan sebentar. Memakan masa. Tetapi melahirkan ikatan yang tiada taranya.
Proses inilah yang melahirkan ukhuwwah atas keimanan.
Melalui proses ini, keimanan itu diperkukuhkan. Menjalani proses itu bersama-sama, ukhuwwah itu muncul. Dengan keimanan yang telah diperkukuhkan tadilah, ukhuwwah itu dihargai.
Merasai bahawa sahabat itulah nyawa kita.
Menyebabkan bagaimana berbeza pun umur kami, kami tetap mampu bersama-sama.
Penutup: Hendak melahirkan ukhuwwah yang erat, proses tarbiyah adalah indikator utama
Berbeza dengan mereka yang tidak menjalani proses, ukhuwwah tidak akan mampu terbina atas keimanan yang mentah. Hal ini kerana, kepayahan yang dikongsi bersama sepanjang proses, kemanisan yang dirasai bersama sepanjang proses, adalah apa yang menyebabkan ukhuwwah itu menjadi dalam dan kukuh.
Proses ada pelbagai bentuk. Orang yang tidak mengambil proses tarbiyah islamiyyah juga mampu mempunyai hubungan yang kuat.
Tetapi saya tidak menceritakan sekadar ‘kekuatan hubungan’ semata-mata. Saya hendak menceritakan adalah ‘kekuatan hubungan yang membawa kita kepada Allah SWT dan ke Syurga’. Yang itu, hanya mereka yang menjalani proses tarbiyah Islamiyyah sahaja yang mampu menghasilkannya.
Hingga terasa seakan-akan hati ini terikat dengan mereka. Kasih dengan mereka. Sayang dengan mereka. Cinta akan mereka. Tidak rela mereka dimakan oleh jahiliyyah. Sanggup berhabis wang, berkorban masa, hatta kalau diperlukan sanggup memberikan nyawa, agar dapat bersama mereka ke syurga. Hubungan ini menjadi bukan sekadar untuk berseronok bersama, berduka bersama. Tetapi menjadi hubungan yang mengimpikan masuk syurga bersama-sama.
Hingga melihat wajah mereka sudah mendapat kekuatan. Apatah lagi bersama-sama mereka dalam beramal. Memang tiada bandingan.
Semua ini adalah dengan proses tarbiyah.
Tanyalah Hafiz, tanyalah Fahmi, tanyalah Muhaimin Misran, tanyalah Abang Ali Irfan. Sekiranya mereka membaca artikel ini, saya pasti, mereka akan mengakui apa yang saya bicarakan.
Betul tak antum? Kita ini rapat sebab proses tarbiyah kan?
Kalau bukan sebab kita ini lalui proses tarbiyah, mustahil kita seperti hari ini bukan?
Semoga perkongsian ini bermakna buat semua.
:-)