Diam Dengan Nama Allah.

Imam, saya mahu dapatkan penjelasan awak” kata Ali.

“Silakan” saya mengajak beliau duduk di kerusi.

“Tak apa. Tak payah duduk. Saya minta Imam buka Quran terjemahan itu!” tegas Ali.

Saya kaget.

Mengapa begitu tegang intonasi Ali?

Saya mencapai naskhah terjemahan al-Quran di dalam Bahasa Inggeris yang berada di pejabat. Terjemahan versi Dr. Muhammad Taqiuddin Al-Hilali dan Dr. Muhammad Muhsin Khan.

“Buka surah al-Ikhlas” Ali memberikan ‘arahan’.

Saya patuh.

“Cuba baca terjemahannya” Ali terus mendesak saya.

“Say (O Muhammad): “He is Allah, (the) One” saya menukilkan apa yang tercatat.

“Nampak tak di mana masalahnya?” soal Ali.

“Tidak” saya menjawab lurus.

“Astaghfirullah. Allah menghijab kamu!” tegas Ali.

“Astaghfirullah. Allah menghijab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Apa maksud kamu?” saya kepanasan namun masih cuba bertahan.

“Lihat di dalam kurungan itu. ‘O Muhammad’. Itu masalahnya!” Ali semakin meninggikan suara.

“Kenapa pula?” saya masih tidak dapat menangkap maksud Ali.

“Muhammad sana, Muhammad sini. Penuh dalam Quran terjemahan ini perkataan Muhammad. Saya sudah kira, dah jumlahnya pula hampir sama banyak dengan lafaz Allah. Adakah kita menyembah Muhammad?” soal anak muda itu.

Aduh. Apa pula isu yang dibawa oleh Ali ini. Saya khuatir dengan keadaan dirinya. Baru sahaja tempoh hari dia bermati-matian mempertahankan pendapatnya bahawa cara Qiyam yang betul di dalam Solat ialah dengan meluruskan tangan ke bawah, dan bukannya ditekup tangan kanan di atas tangan kiri di kawasan dada. Alasannya, posisi tangan lurus ke bawah adalah paling tenang. Sebab itu mayat apabila menghembuskan nafas terakhir, tangannya jatuh ke sisi!

Saya letih melayan perbahasan seperti ini.

Entah di mana hujung pangkalnya.

Paling saya bimbangkan, Ali memiliki Laura.

Gadis yang memeluk Islam beberapa bulan yang lalu, dan saya nikahnya beliau dengan Ali agar dapat membimbing Laura.

Makin lama Ali menjadi semakin agresif.

Dan petang ini, beliau mendesak saya menarik balik semua Quran terjemahan Bahasa Inggeris yang ada banyak kalimah Muhammad.

“Ali, bukankah Muhammad itu ditulis di dalam kurungan!” saya cuba menjelaskan keadaan.

“Apa bezanya?” Ali tidak berpuas hati.

“Setiap yang ditulis di dalam kurungan, maksudnya ia bukan terjemahan langsung nas al-Quran, sebaliknya tafsir atau penjelasan yang cuba diberikan oleh para ahli Tafsir untuk kemudahan kita memahami ayat-ayat al-Quran” saya masih mencuba.

“Mana boleh. Ini kitab suci. Mana boleh masuk-masukkan sesuka hati!” Ali semakin keras.

“Ini terjemahan kitab Suci. Al-Quran kita ialah yang hijau di almari itu. Ini terjemahannya” saya menolak bantahan Ali.

“Saya tidak setuju. Al-Quran di dalam Bahasa Arab itu kitab suci untuk kita yang faham Bahasa Arab. Bagi orang yang tidak berbahasa Arab, maka terjemahan inilah kitab sucinya” bentak Ali lagi.

“Tidak. Terjemahan itu panduan. Setiap Muslim mesti belajar sehingga boleh membaca al-Quran di dalam bahasa Arab ini” saya cuba membawa Ali kembali kepada prinsip.

“Saya tetap tidak setuju perkataan Muhammad banyak dimasukkan ke dalam terjemahan. Ia menyesatkan. Sama seperti Bible yang penuh nama Jesus!” Ali mempertahankan pendapatnya.

Ya Allah, penatnya saya.

Mujurlah pengalaman bertahun-tahun tinggal di negara Arab, memberikan banyak latihan kemahiran bergaduh dan berbalah. Mahu membeli bawang di kedai pun ada kalanya perlu dicapai melalui perbalahan!

“Habis kamu mahu saya katakan apa?” saya mengalah.

“Saya mahu Imam tulis surat kepada Islamic Cultural Centre of Ireland di Clonskeagh, arahkan semua masjid menarik balik semua terjemahan al-Quran yang ada banyak perkataan Muhammad seperti ini” Ali menjawab.

“Maksud kamu SEMUA?” saya menyoal.

“Ya, semua. Jika Imam tidak lakukan ia, saya akan menulis sendiri surat ke ICCI agar tindakan diambil. Harap jangan sampai saya bertindak sendiri!” Ali seakan-akan mengugut saya.

Demi Allah, saya kebingungan petang itu.

“Hentam sahajalah, Labu!” saya mengeluh di dalam Bahasa Malaysia.

“Apa Imam cakap?” Ali tidak faham kenyataan saya di dalam Bahasa Malaysia tadi.

“Smash the Pumpkin as you wish, O Ali!” saya memberikan terjemahan bebas untuk kefahaman beliau.

“Saya tidak faham maksud Imam” Ali marah dengan kenyataan saya.

“Tak apa. Pulanglah. Saya akan usahakan sedaya mungkin, Insya Allah” saya memujuk Ali.

“Saya mahukan janji. Awak Imam” Ali terus mendesak.

Saya mendiamkan diri.

“Kenapa diam?” Ali mendesak lagi.

Saya memilih untuk mengunci mulut.

Beliau akhirnya pulang meninggalkan masjid. Saya masih kebingungan di dalam pejabat. Mengurut dada dan beristighfar.

Kejadian ini mengheret ingatan saya kepada sebuah buku klasik bertajuk Arguing With Idiots oleh Glenn Beck. Ia memberikan pelbagai sketsa yang memeningkan tentang betapa rumitnya untuk kita keluar daripada belenggu perdebatan yang sudah hilang hujung pangkalnya.

Lalu, diam itu jugalah penyelesaian paling sejahtera untuk menjernihkan keadaan.

Teringat saya kepada sebuah peristiwa di zaman Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ’sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.

Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.” [ Hadith riwayat Abu Dawud]

Diam bukan mengalah.

Ia cara mencari Rahmah.

Mendekatkan diri kepada Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Sahabat Sebagai Pembimbing

Sahabat Sebagai Pembimbing
Oleh: Mohammad Hafiz Bin Rozali


Setiap manusia saling memerlukan. Jadi tidak salah bagi kita untuk mencari kawan di sekolah, tempat kerja dan sebagainya. Tetapi rakan yang dicari perlulah mempunyai kretiria yang membawa kita kepada Al-Khaliq (pencipta kita). Persoalannya, berapa ramai manusiakah yang menitik beratkan ciri-ciri seorang rakan yang perlu dicari? Sungguh rugi manusia yang tidak berkawan dengan manusia yang zuhud. Ini kerana manusia yang zuhud tidak akan sesekali mahu membawa kita kepada kekafiran malah akan membawa diri kita lebih dekat dengan Pencipta.

Firman Allah, Marfumnya;
Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). (58:14)

Maka mahukah kita berkawan dengan golongan yang dimuraki oleh Allah SWT? Sesungguhnya setiap dari kita perlu mencari rakan yang membawa kita kepada ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT sebagaimana Firman Allah, Maksudnya;

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). (43:67)

Kesimpulannya, amat penting bagi kita sebagai seorang muslim mengutamakan keredaan Allah, kerana keredaan Allah akan memberikan cahaya dan petunjuk bagi membawa kita kejalan yang benar seterusnya membawa kita ke syurga yang hakiki. Wallahualam.

april fool

Bulan Mac telah melabuhkan tirainya. Bulan April kini menjelma. Terdapat suatu kebiasaan jahiliyah yang harus kita berwaspada sebagai seorang Muslim iaitu 1 April sebagai hari ‘April Fool’. April Fool adalah hari di mana orang-orang diperbolehkan untuk menipu atau berbohong tetapi orang lain. Tetapi tahukah anda apakah itu April Fool yang sebenarnya?

Sejarah April Fool

Sebenarnya April Mop adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiap sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar pada bengang, bukan betul-betul marah.

Walaupun ia tidak sehebat perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool dalam dua dekad ini telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa akan datang ia akan merebak ke masyarakat perkampungan. Ironinya, masyarakat dengan sangat mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April's Fool Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis. Perancis Selatan dengan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan pergunungan. Islam tela hmemberikan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islami. Bukan sekadar membaca Al-Qur'an, namun bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’ untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad.

Selama itu juga, pihak kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat lelah terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka dihantarlah sejumlah mata-mata untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur'an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Jadi, perhatikanlah di sekeliling anda, anak-anak anda dan diri anda sendiri daripada terkena virus jahil April Fool tanpa kita sedari. Wallahua’lam.

Ketenangan Yang Dicari

Sesungguhnya setiap manusia itu mempunyai kesungguhan dalam melakukan setiap perkara atau perlakuan yang dikehendaki. Namun begitu, adakah mereka menggunakan akal fikiran dalam melakukan sesuatu perkara.

Sesetengah manusia memikirkan sesuatu perbuatan itu baik untuk dirinya walaupun mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Sesetengah manusia pula memburukkan sesuatu perbuatan itu dengan alasan akan mendatangkan kemudaratan terhadap dirinya dan orang lain. Di situlah kita lihat manusia itu mempunyai epemikiran masing-masing yang kita tidak pasti apakah pemikiran baik untuk kita ataupun sebaliknya?



Seorang ketua negara yang memberikan arahan kepada rakyat jelata dengan dasar-dasar yang dibuat olehnya sendiri, seorang raja yang sentiasa menjadi lambang kepada kerakyatan masyarakat, ketua pengarah yang sentiasa mengarah pekerjanya melakukan pekerjaan, seorang ketua parti yang sentiasa optimis dengan perjuangan parti atau sebagainya. Pernyataan tersebut seringkali dipersoalkan oleh manusia-manusia sedang mencari kedamaian dalam hati. Perjuangan yang dilakukan sebenarnya hanyalah ingin menenangkan ketidaktenangan dalam diri mereka.

Mereka inginkan kepastian, apakah golongan-golongan atasan dalam pernyataan tadi ikhlas dan telus dalam melaksanakan tugas dan peranan serta tanggungjawabnya? Adakah mereka menggunakan orang bawahan sebagai manusia yang seperti 'lembu dicucuk hidung'? Adakah mereka sedang bersenang-lenang sekarang sedangkan rakyat menanggung seksa? Dan banyak lagi persoalan yang sering bermain-main di pemikiran manusia-manusia yang sedang mencari ketenangan ini.

Sesungguhnya mereka inginkan yang terbaik untuk diri mereka, masyarakat mereka, bangsa mereka, agama mereka dan negara mereka. Disitulah konsep nilai itu wujud. Persoalan demi persoalan telah diajukan. Pihak yang berkenaan juga telah menjawab tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan dengan pelbagai hujahan yang bernas besertakan bukti dan fakta yang menarik.

Namun, adakah itu sudah cukup memberikan ketenangan kepada manusia-manusia yang mencari ketenangan tersebut? Persoalan yang timbul pula kini adalah, apakah mereka tidak tahu bersyukur? Adakah mereka hanya mahukan jawapan yang pasti atau mereka hanya mahu menentang habis-habisan dan menafikankan dengan apa yang telah lengkap sedia ada? Persoalan demi persoalan langsung tidak mampu dijawab oleh kita yang semakin bijak pandai ini.

Ahli Antropologi yang sentiasa mengkaji bidang kebudayaan manusia ini juga gagal menemui pendekatan teoretikal yang dapat menerangkan situasi ini. Adakah pemikiran manusia kini semakin kompleks dan rumit? Jawapan yang mudah bagi soalan ini adalah 'ya', tetapi tiada bukti, hujahan serta fakta selanjutnya.

Hati semakin gelisah, tidak tenang, gusar dengan sesuatu. Sehinggakan perkara yang baik dikata tidak, yang buruk dikata baik, dan paling menyedihkan, sesetengah manusia itu seringkali menyalahkan manusia lain yang sama agama, sama bangsa mahupun sama negara. Yang tidak baik itu seharusnya kita yang berakal tinggi ini membetulkannya dan menjadikannya pengajaran kepada semua, dan bukannya menentang dan tamakkan harta dan kuasa. Berfikirlah wahai manusia, siapakah kita di Bumi Allah ini.

Kita sebagai seorang khalifah dan juga hamba yang hina lagi keji di sisi-Nya ini perlulah tunduk dan taat kepada perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Kembalilah kepada agamamu wahai manusia yang mencari ketenangan. Insya-ALLAH, kegelisahan akan dapat dipadamkan, ketidaktenangan dapat dihapuskan, serta kegusaran dapat diruntuhkan. Sesungguhnya, KETENANGAN yang dicari akan terus kekal bersemi di dalam hati setiap hamba yang sentiasa tunduk dan sujud kepada ALLAH.