Yang kita mahu dalam hidup

Kita memilih untuk bahagia, sebab itu kita memilih Islam. ~ picture by adila of deviant art.
Kita memilih untuk bahagia, sebab itu kita memilih Islam. ~ picture by adila of deviant art.
Apa yang kita mahu di dalam hidup?
Mungkin banyak jawapan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bercita-cita. Rumah besar, kereta besar, isteri cantik, pakaian lawa, suami penyayang, harta banyak, peperiksaan cemerlang dan sebagainya.
Tetapi apabila kita duduk sebentar, berfikir dan meneliti kembali, kita akan melihat betapa keinginan-keinginan tadi hanyalah satu ilusi yang mengabui keinginan sebenar dalam diri kita.
Kita inginkan satu perkara bernama kebahagiaan. Mungkin kita akan namakan kebahagiaan ini dengan banyak nama lain seperti ‘selamat’, ‘puas’ dan sebagainya. Tetapi ia akan kembali menjurus kepada satu perkara bernama kebahagiaan.
Kita ingin bahagia.
Cuba lihat semula kehidupan kita. Apakah kata-kata saya benar, atau palsu semata?

Lompong yang tak terisi
Terasa di dalam kehidupan kita akan kewujudan satu lompong. Tetapi kita tidak tahu hendak mengisinya bagaimana. Kita tidak pasti hendak mengisinya dengan apa.
Lantas kehidupan kita mengejar sesuatu tiada henti. Kita buat itu ini tanpa pasti.
Kita ingin mengisi lompong itu. Tetapi segala apa yang kita kejari, itu semua tidak mampu mengisi kekosongan itu. Rumah besar, selepas mendapat rumah besar kita rasa sepi. Apa lagi selepas ini? Kereta mewah, selepas kita mendapat kereta mewah kita rasa sunyi. Apa lagi selepas ini? Isteri cantik, suami penyayang, selepas beberapa waktu dan melalui mehnah dan tribulasi, kita akan merasa sendiri. Apa lagi selepas ini? Selepas berjaya di dalam peperiksaan, masuk ke alam pekerjaan, kita akan merasa kekosongan di dalam diri. Apa lagi selepas ini?
Dan hidup dirasakan tidak bermatlamat. Kosong tanpa arah tujuan. Yang kita ada hanya tujuan-tujuan kecil. Selepas satu tujuan kita melompat ke tujuan lain untuk mengharapkan penerusan. Tetapi sampai satu waktu, kita akan terhenti dan bertanya kepada diri: “Apa aku lakukan sebenarnya? Apa aku mahu kejar?”
Kerana kita belum bertemu dengan apa yang dinamakan ‘bahagia’.
Matlamat besar dan kepuasan dalam beramal
Untuk manusia yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar keimanan, lompong kosong yang terwujud itu, terisi.
Setiap kerja ada matlamat. Hal ini kerana semua perkara adalah ibadah selagi mana ia berdiri di dalam lingkungan syara’ dan dilakukan dengan ikhlas. Maka seorang mukmin sepatutnya bekerja bersungguh-sungguh kerana dia yakin betapa pekerjaannya itu adalah ibadah kepada Allah SWT. Seorang mukmin akan belajar bersungguh-sungguh kerana dia yakin betapa pelajarannya itu adalah ibadah kepada Allah SWT.
Bahkan, seorang mukmin meyakini betapa matlamat besar wujud di dalam kehidupannya. Yakni akhirat yang merupakan kampung kepada sekalian manusia nanti.
Memahami hal ini, seorang mukmin mempunyai matlamat dalam segenap kejayaannya. Dia bekerja bukan untuk manusia. Tetapi untuk menyelamatkan dirinya daripada azab api neraka. Dia mengumpulkan sahamnya di dunia, bagi menguntungkannya di akhirat kelak.
Sebab itu seorang mukmin, sepatutnya tidak bosan melakukan kebaikan, sentiasa berusaha menjalin silaturrahim, dan sentiasa berusaha berkasih sayang dengan semua insan tanpa mengharapkan balasan balas daripada mereka. Hal ini kerana, seorang mukmin faham, segala apa yang dia lakukan adalah untuk Allah SWT, dan untuk menjamin kebahagiaannya di akhirat.
Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat. Surah Al-Baqarah ayat 265.
Mengisi kehidupan dengan cara yang sebegini, akan menimbulkan satu perkara di dalam hati insani, yang bernama ‘Kebahagiaan’.
Orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik. Surah Ar-Ra’d ayat 29.
Dan kebahagiaan inilah yang menghasilkan rasa ‘selamat’, ‘tenang’, ‘tenteram’, ‘puas’ dan sebagainya. Memenuhi lompong kosong yang ada di dalam jiwa manusia.
Penutup: Kembali kepada Allah, itulah jalannya
Tiadalah Allah ini menurunkan Islam kepada manusia, selain Dia mengetahui betapa manusia memerlukan Islam itu sendiri. Sebagaimana Allah memahami betapa manusia memerlukan manusia untuk mengajar mereka agar mereka lebih mudah memahami, begitulah juga Allah menurunkan Islam kerana Allah mengetahui betapa manusia sangat memerlukan sistem hidup ini untuk menjamin kesejahteraan kehidupan mereka.
Jalan mencari bahagia hanya satu. Kembali kepada Allah, dengan pengembalian yang sebenar-benarnya. Kembali memahami matlamat kehidupan manusia di dunia, dan ke mana manusia akan dikembalikan akhirnya. Ini akan menyebabkan setiap perkara yang dilakukan oleh manusia itu bermakna.
Jika anda mengkaji apa yang telah Islam sediakan ini, dengan jalan mencari kebahagiaan yang lain, anda akan melihat betapa Islam mengajak anda mencari kebahagiaan dengan menyeimbangkan kedua-dua aspek: Duniawi mahupun ukhrawi. Dan tiadalah kebahagiaan tertinggi, melainkan kita mencapai kedua-duanya sekali.
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan. Surah Al-Qasas ayat 77.
Dan ini hanya mampu dicapai, sekiranya manusia kembali duduk dan berfikir dengan teliti.
Tiadalah orang-orang yang bahagia, melainkan mereka yang menyerah diri.