Ukhuwwah Manusia Hamba


Membuat kesimpulan ukhuwwah di hadapan Imperial Palace, Tokyo
“Usrah bukan untuk berukhuwwah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terjalinnya ukhuwwah”, saya menyambung ceramah.
Ada sedikit unsur ‘blurred‘ kelihatan di wajah peserta.
“Usrah bukan majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah. Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah muslim. Menghasilkan manusia muslim”, saya melengkapkan huraian ini.
TARBIYAH ITU COACHING
Diskusi berlangsung ketika saya memperkatakan tentang subjek HIDUP UNTUK ISLAM. Ia adalah tapak untuk menegakkan prinsip dakwah.
Namun isunya adalah kemandulan dakwah. Bukan sahaja keberhasilannya dipersoalkan, malah daie dan mad’u sama-sama ditimpa kebosanan dengan dakwah stereotaip. Dakwah pudar dan satu hala, hingga menjadi selimut jemu.
Justeru saya cuba untuk menjelaskan perbezaan di antara preaching dan coaching. Sesungguhnya usrah sebagai salah satu gelanggang dakwah memerlukan kepada coaching dan bukannya preaching. Coaching itulah yang dinamakan sebagai TARBIYAH. Bila mana proses tarbiyah itu bersifat coaching, maka soal jawab dan kritis dalam memperkatakan topik-topik dakwah, adalah suatu kemestian.
Termasuk juga persoalan se’mudah’ UKHUWWAH

Summer Camp 2008 memproses manusia untuk dikembalikan kepada manusia… kerana Dia
UKHUWWAH YANG BUKAN UKHUWWAH
“Bagaimana kita mahu menghasilkan ukhuwwah?”, tanya salah seorang peserta.
“Soalnya, apakah kita boleh bezakan di antara ukhuwwah dan bukan ukhuwwah?”, saya cuba memprovok minda peserta.
“Apakah ada ukhuwwah yang bukan ukhuwwah?”, saya cuba untuk menjernihkan lagi soalan yang ditanya.
Peserta hening.
Sepi seketika.
Syukurnya, panas Ibaraki yang begitu membara mulai reda. Hujan turun membasahi malam kedua kami di Summer Camp 2008. Peserta dan penceramah selesa sedikit untuk berprogram.
Persoalan ukhuwwah yang bukan ukhuwwah ini saya timbulkan untuk membetulkan persepsi segelintir anak muda yang salah membaca makna ukhuwwah. Mereka keliru di antara ukhuwwah dengan taasub berkumpulan.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat 49: 10]
Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain…  cukup dengan alasan iman.
Sedangkan taasub berkumpulan itu jauh berbeza. Ia adalah suatu kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika ia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut. Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.
Inilah yang harus kita perhatikan secara teliti. Tanpa mata yang tajam membaca kelakuan manusia, kita membuat evaluasi yang salah hingga mengambil sampel yang cacat untuk sesuatu yang tinggi setinggi ukhuwwah fillah. Terlalu mudah melabelkan kemesraan sebagai ukhuwwah.
Justeru, proses Tarbiyah seharusnya bertindak menyuntik elemen ukhuwwah yang terbentang luas bermula daripada sikap berlapang dada, hinggalah kepada upaya mengutamakan saudara mengatasi diri sendiri. Antara ‘salamatussadr‘ hingga ke ‘al-eetsaar ‘ala al-nafs‘. Lingkungannya harus luas seluas iman. Atas nama iman kepada Allah, title MUKMIN dan MUSLIM sudah cukup untuk membuka penerimaan kita terhadap sesiapa sahaja.
Akan tetapi, jika agenda Tarbiyah mencetuskan kemesraan hanya kepada sesama ahli kumpulan, kemudian dingin dan hambar dengan orang luar, maka ia adalah pseudo-ukhuwwah. Persaudaraan yang palsu. Persaudaraan yang meminjam keluasan Islam untuk berkhidmat kepada kesempitan agenda berkumpulan itu.
Suatu manipulasi yang cela.

Ukhuwwah merentas generasi
TABIAT BIASA
Tidakkah manusia sentiasa mengutamakan kawan sendiri dan lingkungan kebiasaannya?
Soalan ini mungkin timbul sedemikian rupa.
Tentu sahaja kita lebih mesra dengan kumpulan kita sendiri. Credit hour yang kita habiskan bersama rakan-rakan sepasukan, tentu sahaja menjadikan kita lebih mudah masuk dengan sahabat-sahabat yang kita sudah biasa. Itu naluri manusia.
Tetapi kemesraan itu harus mampu berkembang dan mendatangkan upaya untuk mereka bergaul, berhubung dan berinteraksi dengan orang lain juga. Tiada duo-personaliti. Mesra dengan teman, hambar dengan kenalan!
“Bagaimanakah ia boleh dihasilkan?”, satu soalan terbit menuntut perincian.
Saya menggemari suasana di dalam Summer Camp 2008 tempoh hari kerana peserta aktif berinteraksi. Lambakan soalan mereka amat ‘merehatkan’. Saya mampu berehat di dalam penat, apabila peserta memperlihatkan diri mereka memproses apa yang diperkata.
ELITISMA
“Proses Tarbiyah mestilah menjauhi elitisma. Iaitu suatu fenomena yang mengangkat keistimewaan diri di atas perbuatan memandang rendah terhadap orang lain”, itu jawapan saya selepas di’Haji Google’kan dengan soalan tersebut.
Sebuah kumpulan dakwah yang berjaya, harus mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan bulat hati terhadap seruan yang diperjuangkan. Jika sebuah kumpulan itu sentiasa berperasaan bahawa diri mereka bukanlah yang terbaik, cacat cela pada minda dan seruannya, maka golongan yang tiada keyakinan diri tidak mungkin dapat meyakinkan orang lain.
Akan tetapi, di sana ada garisan halus yang memisahkan keyakinan diri dan sombong meninggi diri. Keyakinan diri itu ialah pandangan yang positif terhadap kelebihan dan potensi diri, tanpa memandang rendah kepada orang lain. Manakala perbuatan meninggi diri (ego?) pula ialah pandangan yang ‘positif’ terhadap potensi diri, dengan memandang rendah kepada orang lain.
“Tarbiyah kita adalah yang terbaik, tarbiyah rakan kita juga ada kelebihannya”, ayat yang muncul dari pandangan yang positif terhadap diri.
“Tarbiyah kita adalah yang terbaik, berbanding kumpulan mereka yang  kurang Tarbiyah!”, adalah ayat meninggi diri.
Ayat-ayat elitisma!
Elitisma atau exclusiveness dalam fikiran, gaya hidup dan pergaulan inilah penyumbang besar kepada rosaknya nilai ukhuwwah yang disemai melalui proses Tarbiyah. Ia mengongkong perasaan kumpulan yang dijangkiti, dengan keupayaan bergaul yang baik sesama sendiri tetapi tiada upaya yang sama tatkala berhubung dengan golongan yang datang dari luar lingkungan mereka.
Jangan tertipu dengan ‘ukhuwwah’ sebegini.
Jangan menipu diri dengan ‘ukhuwwah’ sebegini.
Ia hanyalah taasub perkumpulan yang mengundang rugi.

Ukhuwwah harus ceria menceriakan
BENTENG SOMBONG DIRI
“Apa pula caranya untuk tidak sombong meninggi diri?”, soalan seterusnya menerjah diri.
Sombong diri itu memusnahkan. Ia mengalpakan dirinya dari hakikat siapa kita siapa Dia.
“Mampukah manusia yang sedar dirinya HAMBA, meninggi diri di hadapan Dia yang Maha Tinggi?”, itu sahaja jawapannya.
“Dan tidaklah Aku Ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka itu memperhambakan diri dengan beribadah kepada-Ku” [Al-Dhaariyaat 51:56]
Manusia yang sentiasa memikirkan akan tujuan hidupnya, akan sedar bahawa dirinya adalah seorang hamba. Manusia yang sentiasa memikirkan tujuan hidup di dalam dakwahnya, akan berdakwah dari seorang hamba kepada seorang hamba, merendahkan diri di hadapan DIA.
Ya Allah, hidupkanlah kami dengan kehidupan hamba…
Matikanlah kami dengan kematian hamba…
Masukkan kami ke Syurga-Mu bersama hamba-hamba-Mu yang Engkau redhai.
Semoga warga Summer Camp IPIJ 2008 terus subur ukhuwwah mereka, di mana sahaja, dengan sesiapa sahaja… kerana itulah jalan kesempurnaan IMAN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment