Kisah Sultan Dan Orang Tua

Pada zaman dahulu, terdapat seorang Sultan yang mengikat dirinya kepada kehidupan dunia dan bercita-cita ingin meluaskan jajahan takluknya ke seluruh dunia. Hendak di jadikan kisah, suatu hari, Sultan tersebut berhajat ingin melihat keadaan ibukota negerinya. Maka berangkatlah Sultan sambil menunggang kuda dan diiringi dengan dengan para pengawal.

Jalan-jalan di ibukota negeri dikosongkan oleh para pengawal Sultan tersebut dan semua rakyat jelata hanya dibenarkan berdiri di tepi jalan. Ketika sedang sibuk para pengawal Sultan mengosongkan jalan-jalan tersebut, terdapat seorang lelaki tua yang sudah lanjut usianya berjalan perlahan-lahan dengan tongkatnya. Lelaki tua itu dikenali sebagai seorang yang soleh dan dihormati oleh masyarakat setempat di negeri tersebut.

Seorang pengawal Sultan pun berkata, “Wahai Orang Tua!, Sila berdiri ditepi jalan, kerana Sultan ingin melalui jalan ini”. Dengan tenang Orang Tua itu menjawab, “Jalan ini sudah cukup luas untuk aku dan Sultan melaluinya”. “Aku telah memberitahumu wahai Orang Tua, Sultan ingin melalui jalan ini!. Jika kamu tidak mahu ketepi, kemungkinan kamu akan dihukum oleh Sultan”, kata pengawal tersebut dengan suara yang tegas. “Janganlah kamu risau, sesungguhnya ini bukan urusan kamu!”, jawab Orang Tua itu.

Sambil menundukkan pandangan, pengawal tersebut meninggalkan Orang Tua tersebut dengan hatinya yang tidak tenang kerana semua rakyat jelata mengetahui keangkuhan dan kesombongan Sultan akan menyebabkan Orang Tua itu akan dihukum. Apabila Sultan sampai dijalan dimana lelaki Orang Tua itu berjalan, maka berkatalah Sultan, “Pengawal!!!, Kenapa Orang Tua ini tidak berdiri ditepi jalan? Tidakkah dia tahu bahawa beta ingin melalui jalan ini?”. Pengawal pun menjawab, “Kami sudah memaklumkan kepadanya, tetapi dia tetap berdegil juga, Orang Tua itu tidak mahu mendengar!”.

“Wahai Orang Tua!!!, Apakah yang menghalang kamu untuk berdiri di tepi jalan? Tidakkah kamu tahu beta akan melalui jalan ini?”, berkata Sultan dengan murkanya. Dengan tenang Orang Tua itu menjawab, “Jalan ini sudah cukup luas untuk kita berdua melaluinya, maka Tuanku jalan sajalah…”. Berkata Sultan, “Hei Orang Tua!, Adakah kamu tidak mengenali beta? Adakah kamu tahu dengan siapa kamu berkata?", dengan nada yang marah dan tegas. Rakyat jelata disekeliling mula berbisik-bisik di antara satu sama lain kerana hairan melihat kedegilan dan keberanian Orang Tua tersebut.

Orang Tua itu berkata, “Ya, sudah tentunya hamba amat mengetahui dirimu wahai Sultan! Bukankah Tuanku seorang manusia yang pada mulanya dicipta daripada setitis air mani dan pada akhirnya nanti akan dimakamkan didalam tanah yang berbau? Dan tempoh di antara penciptaan Tuanku daripada air mani dan pemakaman Tuanku di dalam tanah, Tuanku akan sentiasa membawa najis yang terkandung didalam perut dengan kuantiti yang banyak?. Di saat itu terpancar kebenaran dan keikhlasan daripada kata-kata Orang Tua itu. Sesungguhnya pancaran KEBENARAN dan KEIKHLASAN seseorang itu bisa menembusi dada-dada manusia dan menusuk terus kedalam hati. Sedar dengan kebenaran kata-kata Orang Tua itu, Sultan pun berlalu meninggalkan Orang Tua itu.

Sahabat-sahabatku sekalian, Jika KEBENARAN yang ingin kita tegakkan, maka tidak boleh tidak ia mesti disertai dengan KEIKHLASAN. Kerana apa? Tidak lain dan tidak bukan sudah tentunya ia berkaitan dengan hati. Hati manusia terhubung dengan keikhlasan dan ianya boleh dirasai. Hmm….

Saya mohon maaf kalau gaya bahasa yang digunakan tidak berapa sedap dan cerita tu tak menarik….

No comments:

Post a Comment